Thursday, August 27, 2009

Konsep tabarru' dalam Takaful

Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat sempurna. Segala sistem dan peraturannya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan hidup manusia. Peraturan-peraturan Islam selari dengan fitrah kejadian manusia.

Secara fitrahnya manusia sangat sukakan harta, maka Islam telah meletakkan panduan yang jelas kepada manusia dalam hal-hal berkaitan harta agar harta tersebut memberikan kebaikan kepadanya.

Dalam Islam, manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk diatur dan disalurkan dengan cara yang diredai-Nya.

Islam menyediakan kaedah penyelesaian yang bukan sahaja praktikal malah dapat memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat. Sebagai agama yang praktikal, Islam menyediakan solusi kepada pelaksanaan sistem insurans yang selari dengan prinsip syariah Islam.

Kontrak tabarru' (bersedekah) telah diperkenalkan sebagai asas kepada sistem takaful di mana kontrak berkenaan adalah lebih praktikal dan selamat dalam mengatur-urus sistem insurans yang pada tujuan asalnya adalah dianggap baik.

Perbahasan kali ini adalah berkaitan konsep tabarru' dan mengapa ia dipilih sebagai kontrak yang selamat pada pandangan Islam dalam menjalankan aktiviti dan transaksi insurans.

Berkasih sayang

Tabarru' bermaksud suatu bentuk derma ikhlas yang diberi oleh satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain.

Ia dikategorikan sebagai kontrak satu pihak (unilateral) di mana cukup dengan hanya satu pihak sahaja yang melafazkan sesuatu pemberian tanpa ada sebarang pertukaran.

Tabarru' adalah antara amalan soleh yang sangat digalakkan oleh Islam. Islam menggalakkan semangat tolong-menolong dan berkasih sayang antara satu sama lain. Justeru amalan bersedekah ini sangat tinggi nilainya di sisi Islam.

Ini kerana ia adalah asas kepada wujudnya masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Oleh kerana itulah banyak dalil yang menyokong perkara ini. Antaranya maksud firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)

Rasulullah SAW juga menegaskan dalam banyak sabda Baginda akan galakan dan keperluan melakukan sedekah. Antaranya daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Firman Allah: Belanjakanlah (hartamu) wahai anak Adam, nescaya kamu akan diinfaqkan (oleh Allah SWT) (Muttafaq 'alaih)

Daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan dengan tiga perkara: Sedekah yang berterusan, ataupun ilmu yang memberikan manfaat, ataupun anak yang soleh yang berdoa kepadanya. (riwayat Muslim)

Dalam takaful, setiap peserta yang menyertai mana-mana produknya akan memperuntukkan sebahagian atau keseluruhan daripada sumbangannya (premium) ke dalam satu tabung.

Tabung tersebut dinamakan Tabung Risiko. Ia menempatkan derma terkumpul para peserta. Fungsi dana ini adalah sebagai bantuan kepada peserta yang ditimpa musibah.

Sebagai contoh, dalam Model Takaful Ikhlas, setiap peserta berjanji melakukan derma secara bulanan (al Iltizam bi al Tabarru') ke dalam Tabung Risiko.

Di bawah model ini, sumbangan peserta akan ditempatkan ke dalam satu akaun, sebagai contoh Akaun Pelaburan Risiko Peribadi (PRIA) yang berupa milik peserta.

Pihak peserta yang telah berjanji melakukan derma tadi, membenarkan Takaful Ikhlas mengambil sejumlah tertentu daripada PRIA iaitu jumlah yang diperlukan untuk membantu peserta-peserta yang ditimpa musibah pada bulan berkenaan untuk didermakan (drip) setiap bulan ke dalam Tabung Risiko.

Setiap peserta akan saling membantu di antara mereka apabila ada di kalangan mereka yang ditimpa musibah.

Aplikasi tabarru' di dalam takaful telah menghapuskan unsur-unsur gharar (syubhat), riba dan maisir (judi) yang kerananya telah menyebabkan insurans konvensional difatwakan haram.

Ini kerana tabarru' dikategori sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas sebagaimana kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli yang menentukan adanya pertukaran di antara dua pihak yang berkontrak.

Seseorang yang menderma cukup dengan menyerahkan barangan yang didermakan kepada pihak-pihak yang berkenaan, maka kontraknya telah dikira selesai. Tetapi bagi kontrak pertukaran seperti jual beli, kontraknya dikira selesai apabila pembeli menyerahkan wang (harga barang) dan penjual menyerahkan barang yang dijual tersebut, jika tidak kontrak berkenaan dikira tidak sah.

Inilah yang berlaku di dalam transaksi insurans konvensional di mana walaupun pelanggan telah membayar premium (harga) pihak penanggung insurans tidak berupaya menyerahkan barang yang berupa perlindungan, pada kebiasaannya dalam bentuk wang.

Ini kerana perlindungan (wang) tersebut hanya boleh diserahkan jika pelanggan berkenaan mengalami jenis risiko yang dilindungi seperti sakit jantung, mati, kemalangan dan sebagainya.

Wang hangus

Semasa membeli insurans, pelanggan berkenaan belum lagi menghidap musibah-musibah berkenaan. Maka sudah pasti pelanggan berkenaan tidak akan mendapat barang yang dibelinya itu yang sepatutnya diserahkan kepadanya pada masa tersebut.

Lagipun, musibah seperti sakit jantung, mati , kemalangan dan sebagainya itu sifatnya tidak diketahui akan berlaku atau pun tidak. Maka pelanggan berkenaan tidak pasti sama ada akan dapat atau tidak.

Dalam konteks kontrak jual beli, tidak berupaya menyerahkan barang yang dijual semasa akad dimeterai ia dikira sebagai transaksi yang mengandungi elemen gharar yang ditegah oleh Rasulullah SAW. Inilah yang berlaku dalam transaksi insurans konvensional.

Menerusi pelaksanaan tabarru' ini yang diikat dengan prinsip Takaful (saling membantu) mewujudkan suasana saling tolong-menolong di antara satu sama lain.

Sebagai analogi mudah, peserta A menderma untuk membantu peserta B, manakala peserta B menderma untuk membantu peserta A, suasana bantu membantu inilah yang dikatakan sebagai Takaful di mana peserta saling membantu sesama mereka.

Bukannya di antara peserta dengan pihak syarikat sebagaimana yang berlaku di dalam sistem insurans konvensional.

Berdasarkan prinsip-prinsip tabarru' sumbangan derma itu tidak boleh ditarik balik oleh peserta. Jika peserta membatalkan penyertaan di dalam Takaful, bahagian yang telah dimasukkan ke dalam Tabung Risiko tidak akan dipulangkan. Bagaimanapun peserta berhak mendapat baki yang ada di dalam PRIA dalam konteks Takaful Ikhlas.

Justeru, tiada istilah 'wang hangus' dalam keadaan ini sebagaimana yang cuba disalah tafsirkan kerana ia wang derma yang bakal diganjari pahala yang lumayan oleh Allah.

Demikian kerana dalam aplikasi takaful, jika sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara yang dilindungi, sumbangan tabarru' tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa dalam Islam.

Inilah di antara kelebihan dan keindahan sistem takaful yang tidak ada dalam sistem insurans konvensional. Menikmati habuan ukhrawi di samping habuan duniawi sekali gus.

Allah menjanjikan ganjaran yang lumayan bagi mereka yang bersedekah. Ia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261). Selain itu boleh juga merujuk ke ayat 274 surah al-Baqarah.

Bukan sahaja peserta yang dapat menikmati manfaat rabbani ini malah mereka yang bekerja di syarikat-syarikat takaful termasuklah para wakil atau ejen Takaful yang terus menerus mempromosikan konsep tabarru' ini, juga bakal mendapat ganjaran ilahi.

Menerusi amalan tabarru' ini kita boleh menikmati ganjaran yang istimewa daripada Allah. Amalan ini boleh dikerjakan dengan lebih sempurna, sistematik dan profesional menerusi sistem takaful.

Malah amalan menerusi sistem Takaful ini adalah tabarru' kelas pertama di mana ia dilakukan dengan ikhlas, sehinggakan tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.

No comments: